alonganaz

Archive for April, 2010|Monthly archive page

Wawancara Abdullah CD

In Perjuangan on April 29, 2010 at 5:51 pm

Terima kasih buat Pak Amin di atas tulisannya tentang perjuangan mereka yang berhaluan kiri. Wawancara ini adalah wawancara dengan Bapak Abdullah CD pengasas rejimen ke-10. Namun aku hanya menyiarkan beberapa sahaja wawancara dengan beliau dan bukan semua atas beberapa sebab.

Soalan: Banyak orang, khasnya angkatan baru, sangat ingin mengetahui tentang Bapak secara lebih dekat. Mereka bukan sahaja mahu menambahkan pengetahuan sendiri, bahkan mahu merakamkan perjuangan Bapak dalam lembaran sejarah tanah air. Ada orang mengatakan kisah perjuangan Bapak selama kira-kira setengah abad sudah menjadi legenda, Bapak seorang keramat dan lain-lain.

Abdullah C.D.: (ketawa) Saya bukan keramat, saya manusia biasa saja.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit tentang latar belakang Bapak?

Abdullah C.D.: Saya anak Perak, lahir di Lambur Kiri, Daerah Parit, pada bulan Oktober 1923. Bapa saya bernama Anjang Abdullah, seorang petani sedang. Dia juga ketua kampung. Emak bernama Halimah, seorang suri rumah tangga. Kami hanya dua beradik, iaitu seorang kakak dan saya sendiri.

Soalan: Kami difahamkan nama Abdullah C.D. bukanlah nama sebenar Bapak, tetapi “nama perjuangan”. Benarkah?

Abdullah C.D.: Benar. Nama lahir atau nama sebenar saya ialah Cik Dat. Tapi, selepas perang, ketika saya terlibat dalam gerakan buruh dan PKMM, kerana keperluan perjuangan, saya menggunakan Abdullah C.D.

Soalan: Bagaimana tentang pendidikan Bapak?

Abdullah C.D.: Mula-mula saya belajar di Sekolah Melayu Lambor, Parit, dan tamat Darjah Lima. Kemudian, saya masuk Sekolah Inggeris Tapah, tapi lepas itu, Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Saya sempat belajar Inggeris setakat Darjah 7 saja kerana tercetusnya perang.

Soalan: Benarkah Bapak terlibat dalam gerakan kemerdekaan masa di sekolah lagi?

Abdullah C.D.: Benar.

Soalan: Apakah yang mula-mula mempengaruhi Bapak?

Abdullah C.D.: Bapa saya, guru-guru, dan kegiatan di sekolah setelah berdirinya Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit soal ini?

Abdullah C.D.: Saudara pun tahu, rakyat Perak memang terkenal dengan semangat anti-penjajah. Pengaruh Perang Maharajalela pada tahun 1875 memang mendalam. Sungguhpun perang itu gagal, tapi semangat rakyat terus membara. Awal abad itu, kalau tak silap tahun 1930-an, rakyat Perak nak berontak lagi – di Kuala Kangsar, Parit dan lain-lain tempat. Salah seorang penganjurnya ialah Raja Chulan, keluarga diraja Perak. Pemberontakan ini ditindas oleh British dan ramai orang ditangkap. Tapi Almarhum Sultan Perak ampunkan mereka. Bapa saya salah seorang yang terlibat dalam gerakan ini. Kisah-kisah perjuangan begini selalu bapa saya ceritakan kepada saya.

Soalan: Bagaimana dengan guru-guru Bapak?

Abdullah C.D.: Saya bernasib baik kerana ketika di sekolah Melayu, ada seorang guru, Cikgu Karib namanya, sangat ambil berat terhadap saya. Beliau lulusan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris) yang merupakan tempat semaian semangat kebangsaan Melayu. Beliau mengajar saya di sekolah waktu siang. Waktu malam pula, bapa saya hantar saya belajar di rumahnya. Cikgu Karib menanam semangat patriotisme pada diri saya.

Seperkara lagi, semasa di Sekolah Inggeris Clifford, Mr. Lewis, seorang Inggeris yang menjadi guru besar di situ, agak maju juga. Beliau menjelaskan kepada saya tentang keburukan kapitalisme serta menganjurkan supaya saya membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis.

Soalan: Babak ada menyatakan bahawa bapak membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis. Apa pandangan Bapak tentang falsafah Marxis?

Abdullah C.D.: Bagi saya falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak memandang Marxisme itu sebagai “dogma”, atau pegangan ketat yang kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.

Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan sebagai Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.

Soalan: Ada orang Melayu yang menolak PKM kerana menganggap komunis telah keluar dari agama Islam. Apa pandangan Bapak tentang hal ini?

Jawapan: Komunisme adalah musuh kapitalisme. Fikiran antikomunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah sebagai bapa kapitalisme. Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua iaitu tahun-tahun 45-48, orang Melayu yang progres (kiri) atau yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak antikomunis, tetapi mereka yang lebih rapat dengan penjajah yang diwakili UMNO yang kuat antikomunis.

Dalam perjuangan besar untuk kemerdekaan tanah air, kaum komunis, nasionalis, dan agama telah bersatu melawan penjajah. Di Malaya PKM dan PKMM bekerjasama sangat rapat. Dr. Burhanuddin seorang tokoh agama yang berpandangan jauh adalah rakan seperjuangan saya yang paling rapat. Front Persatuan Putera-AMCJA merupakan contoh nyata gabungan berbagai kekuatan tersebut. Sebagai taktik dengn penjajah British, PKM tidak tampil ke depan, tetapi ia memainkan peranan terpenting di belakang barisan bersatu tersebut. Hal ini berlaku juga di Indonesia. Mereka telah membentuk front persatuan di atas dasar NASAKOM iaitu nasionalis, sosialis, agama dan komunis.

Dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British kali ini pula ramai tokoh agama yang menyokong perjuangan bersenjata khasnya Rejimen Ke-10, mereka menganggap perajurit Rejimen Ke-10 sebagai jihad untuk memperjuangkan tanah air dan agama.

Soalan: Dengan Pak Rashid Maidin, bagaimana?

Abdullah C.D.: Rashid anak Perak juga, berasal dari sebuah kampung dekat Gopeng, tak jauh dari Lambur. Saya kenal rapat dengannya sejak perang anti-Jepun, dan kami menjadi rakan seperjuangan yang paling akrab sampai hari ini.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan keadaan setelah Jepun menceroboh dan British menyerah diri?

Abdullah C.D.: Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.

Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.

Soalan: Mengapa KMM diharamkan pada tahun 1942?

Abdullah C.D: Telah saya jelaskan di atas ialah KMM berjuang untuk kemerdekaan Malaya. Pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Saya dan kawan-kawan KMM cawangan Lambor juga ikut menandatangani surat tuntutan tersebut. Kerana itulah pihak Jepun mengharamkan KMM.

Soalan: Apakah yang Bapak lakukan semasa pendudukan Jepun?

Abdullah C.D.: Mula-mula, saya bergerak terus dalam KMM selaku Setiausaha KMM di Lambor. Masa itu, saya sudah ada hubungan dengan pasukan gerila anti-Jepun. Kemudian, apabila Jepun mengharamkan KMM, saya, bersama beberapa orang lagi, masuk gerila TAJRM di Perak. Selain tugas tentera, saya juga melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.

Soalan: Apakah tanggungjawab Bapak dalam Parti Komunis Malaya selepas perang?

Abdullah C.D.: Pada tahun 1946, saya dilantik menjadi Setiausaha Jabatan Kerja Melayu Jawatankuasa Pusat PKM, bertanggungjawab atas kerja Melayu dalam PKM serta gerakan massa Melayu.

Soalan: Bolehkah Bapak jelaskan sedikit tentang gerakan massa Melayu?

Abdullah C.D: Orang Melayu tinggi semangat juangnya. Dalam masa perang dunia kedua, kedua-dua belah tebing Sungai Perak menjadi pangkalan gerakan anti-Jepun yang kuat. Dalam masa aman pula, maksud saya selepas Jepun kalah, mereka menyokong gerakan PKMM sehingga anggota parti itu berjumlah 100,000 orang lebih. Setelah meletusnya darurat, orang Melayu di banyak tempat memanggul senjata melawan penjajah British seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Kedah dan lain-lain. Kawasan Temerloh Pahang umpamanya, lebih separuh kawasan desa massa menyokong Rejimen Ke-10 sehingga penjajah British menganggap Temerloh sebagai kawasan Merah.

Soalan: Bagaimana dengan UMNO?

Abdullah C.D.: UMNO lahir kemudian, iaitu pada bulan Mei 1946. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”.

Soalan: Apakah sikap PKMM terhadap UMNO?

Abdullah C.D.: Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Pendek kata, kita nak kerjasama untuk menghalau British dan mencapai kemerdekaan. Tapi masa itu, saya masih ingat, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. Kami dalam PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.

Tapi, pemimpin UMNO ambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. Mereka mengecam PKMM dan mengejek-ngejek semboyan “Merdeka”.

Kerana itu, PKMM ambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA.

PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Kami telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union. Tapi British menolaknya dengan keras.

Soalan: Ada orang mengatakan PKMM tidak menentang Malayan Union. Benarkah?

Abdullah C.D.: Sebenarnya, sistem “Union” atau “Kesatuan” lebih baik daripada “federation” atau “Persekutuan”. Sistem persekutuan bagi negara kita meneruskan semangat kenegerian, kurang semangat kebangsaan yang menyeluruh. Dari segi ini, PKMM bersetuju dengan konsep “Union” pada prinsipnya. Tapi, “Malayan Union” ciptaan British, lain tujuannya. Ia bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Kerana tentangan menyeluruh inilah, rancangan Malayan Union British gagal.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKMM?

Abdullah C.D.: Dalam kongres kedua PKMM di Melaka, saya dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat dan juga Biro Politiknya. Dr. Burhanuddin menjadi Yang Dipertua, Ishak Naib Yang Dipertua. Saya juga bertanggungjawab atas pergerakan buruh Melayu dan kemudian menyatukannya dalam PMFTU yang berbilang kaum. Bersama Doktor, Rashid Maidin dan lain-lain, saya juga selalu berulang-alik ke Gunung Semanggol. Di sana, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.

Soalan: Bercakap tentang sejarah, kami mendapat tahu Bapak sangat ambil berat pengkajian sejarah tanah air dan telah menghasilkan beberapa buah tulisan tentang sejarah tersebut. Sebagai seorang ahli sejarah, bolehkah Bapak berikan sedikit pandangan mengenai masalah ini?

Abdullah C.D.: Saya bukan ahli sejarah, cuma peminat atau pencinta sejarah saja. Bahan-bahan yang ada pada saya pun terbatas. Cuma, saya rasa, sebagai ahli perjuangan, kita bukan saja perlu menguasai teori revolusioner dan gerakan praktikal dengan baik, tapi juga mesti mahir dengan sejarah. Tanah air kita mempunyai sejarah yang lama. Bangsa kita mempunyai tamadun yang tua lagi kaya-raya. Kita mengkaji sejarah untuk memahami hukum-hukumnya, menegakkan kesinambungannya, mengenal kawan dan lawan. Memahami masalah perjuangan kelas, mewarisi tradisi rakyat yang berani berjuang melawan penindasan sejak zaman-berzaman. Kita tak boleh memotong-motong sejarah. Di samping menegakkan kesinambungan sejarah, kita juga perlu meneliti perkembangan dan perubahan di atas dasar kesinambungan tadi. Perspektif begini, saya rasa, perlu kita gunakan untuk memahami dan memecahkan pelbagai masalah negara kita, misalnya, bagaimana masyarakat berbilang kaum terbentuk dan lain-lain.

Kita berjuang untuk mewujudkan masyarakat yang adil pada hari depan. Tanpa menguasai masa lampau dan masa kini, bagaimanakah kita boleh membina hari depan? Tentu tak mungkin. Yang perlu kita lakukan ialah menafsirkan semula sejarah tanah air secara objektif serta melengkapkan fakta sejarah.

Saya perhatikan tidak sedikit cerdik pandai kita hari ini tekun berusaha untuk melengkapkan sejarah tanah air kita, baik zaman peradaban mahupun zaman prasejarah, serta membetulkan penyelewengan sejarah yang dilakukan oleh sejarahwan kolonial. Ini sangat perlu dan sangat baik. Pengkajian dan penemuan di Kota Tampan, Perak, yang dilakukan oleh rombongan pengkaji Universiti Sains Malaysia mempunyai erti yang sangat besar bagi menegakkan zaman prasejarah negara kita di atas dasar ilmiah yang lebih kukuh. Saya ucapkan syabas kepada para sarjana dan lain-lain yang terlibat.

Soalan: Setahu kami, nama Bapak dan Rejimen ke-10 sama seperti darah dengan daging, tak terpisahkan kerana Bapak telah memimpinnya dari dulu hingga sekarang. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit peranan Bapak dalam memimpin pasukan pahlawan ini?

Abdullah C.D.: Memang saya diberi tugas oleh PKM untuk mendirikan dan memimpin Rejimen ke-10, tapi bukan saya seorang saja yang memikul tugas berat ini. Masih ada beberapa orang lagi pemimpin Melayu bersama-sama saya membangun Rejimen ke-10 menjadi sebuah pasukan perkasa yang disegani kawan dan lawan.

Rejimen ke-10 ditubuhkan pada 21 Mei 1949, kira-kira 4 bulan setelah Tentera Pembebasan Nasional Malaya didirikan. Tulang belakangnya terdiri daripada anggota PKMM. Semasa penubuhannya, kekuatan induk Rejimen ke-10 berada di Temerloh, Pahang. Namun begitu, pelbagai unit dan pasukan Melayu di lain-lain negeri juga berada di bawah riayah Rejimen ke-10. Rejimen ke-10 telah melancarkan banyak pertempuran dan membuat sumbangan besar kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pada tahun 1953, pasukan induk Rejimen ke-10 telah beredar dari Pahang menuju ke kawasan sempadan Malaya-Thai dan telah mendirikan pangkalan barunya di situ. Kalau kita bercakap tentang kesinambungan sejarah, boleh kita katakan bahawa perjuangan TPNM dan Rejimen ke-10 mencerminkan kesinambungan ini. Ini merupakan kesinambungan dan sekali gus juga perkembangan daripada perang patriotik dan perang tani orang Melayu dulu di bawah syarat-syarat sejarah yang baru.

Soalan: Apakah pertempuran penting yang Bapak sendiri pimpin secara langsung? Apakah benar Bapak pernah cedera dalam pertempuran?

Abdullah C.D.: Antara pertempuran penting yang saya pimpin secara langsung ialah pertempuran Jalan Chonur, Jerangsang, Ulu Teka, Damak, Gong, Estet Tekal dan lain-lain. Saya juga memandu peredaran Rejimen ke-10 dari Temerloh ke kawasan sempadan. Saya pernah tercedera terkena bom tangan askar British.

Soalan: Bapak mengatakan perang gerila anti-British itu dilancarkan untuk mencapai kemerdekaan. Tapi, ada orang bertanya: Sekarang sudah lama merdeka, apa sebab terus berperang? Mengapa tidak berdamai?

Abdullah C.D.: Masalah perang dan damai ini amat kusut. Kalau saudara tengok dalam catatan sejarah, pada akhir 1957, setelah Malaya merdeka, PKM sekali lagi mengemukakan usul untuk menamatkan perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Tapi, perang kolonial warisan penjajah British itu diteruskan oleh pihak kerajaan.

Soalan: Maksud Bapak, PKM berperang kerana membela diri, kerana terpaksa?

Abdullah C.D.: Begitulah. PKM terpaksa membela diri, membela demokrasi dan kepentingan rakyat, maka PKM melancarkan perang adil untuk menghadapi perang tidak adil warisan penjajah itu. Di samping itu, PKM juga melancarkan gerakan massa dan perjuangan bentuk lainnya. Sungguhpun begitu, PKM bersedia untuk menamatkan perang ini di bawah syarat-syarat yang adil dan munasabah, dan, bersama-sama dengan pelbagai kekuatan patriotik-demokratik lainnya, berjuang dengan cara damai dan demokratik.

Soalan: Ada orang menuduh PKM dan TPNM sebagai “pengganas”. Apa komen Bapak?

Abdullah C.D.: Tuduhan ini sebenarnya propaganda yang dilemparkan oleh penjajah British kepada pejuang yang menentang kekuasaan dan kepentingannya. Pahlawan anti-penjajah dahulu seperti Maharajalela, Tok Sagor, Datuk Bahaman dan Tok Janggut semuanya dicap “penderhaka” oleh British. Yamtuan Raja Haji, yang melawan Belanda, dicap sebagai “lanun”. Ini tidak menghairankan.

Bahkan hari ini, pejuang Palestin juga dicap “pengganas” oleh imperialis Amerika dan Zionis Israel. Begitu juga, pejuang kulit hitam di Afrika Selatan. Pada hal, seluruh dunia tahu bahawa pengganas yang sebenar ialah kaum Zionis Israel dan kaum rasis Afrika Selatan yang kedua-duanya ditunjangi oleh imperialis Amerika itu sendiri.

Anggota PKM dan TPNM adalah kaum patriot, pejuang kemerdekaan dan kebebasan, bukannya pengganas. Penjajah British sengaja menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam untuk memburuk-burukkan kami serta memperelokkan dirinya.

Soalan: Satu lagi Bapak, ada pula tuduhan kononnya tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya “alat” dan “hiasan” saja. Mereka kata PKM “parti Cina” dan anti-Melayu.


Abdullah C.D.: Sebuah parti tak perlu ada hiasan. Program dan dasar-dasarnya serta praktiknya dalam perjuangan, itulah ukurannya. Kenyataan dasar PKM dengan jelas mengakui bahawa orang Melayu adalah pengasas masyarakat bertamadun negara kita, sejarahnya paling lama, dan orang Melayu pernah membuat sumbangan besar dalam melawan penjajahan. PKM menganjurkan harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dalam politik, ekonomi dan kebudayaan.

Di samping itu juga, perlu menghormati kedudukan penting kaum Cina, India dan kaum minoriti. Dasar begini, sesuai dengan kenyataan masyarakat negara kita. Terhadap agama, PKM menghormati kebebasan beragama rakyat dan hak mereka untuk mengamalkan kegiatan agama. Terhadap agama Islam, PKM mengakuinya sebagai agama rasmi negara kita.

Satu perkara lagi ialah soal raja-raja. Raja-raja adalah lambang ketuanan Melayu serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum. Baginda adalah raja berperlembagaan. Dalam sejarah, terdapat ramai juga raja berdiri di pihak rakyat melawan penjajah dan membela tanah air. Hari ini, raja mempunyai peranan yang istimewa dalam masyarakat berbilang kaum. PKM menyokong sistem raja berperlembagaan ini.

Tentang bahasa Melayu, atau bahasa Malaysia, PKM menyokong penggunaannya secara meluas dalam negara dan masyarakat, bahkan sebagai bahasa pengantar untuk hubungan antarabangsa.

PKM juga menyokong tanah simpanan (rizab) Melayu, menyokong kebudayaan Melayu sebagai bentuk utama kebudayaan negara dan lain-lain lagi.

Semua perkara tadi menyangkut kepentingan asasi orang Melayu. Kalau tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya alat atau PKM anti-Melayu, apakah dasar-dasarnya dan tindakannya boleh sedemikian rupa?

Aminulrasyid Amzah Bhg 2

In Isu Semasa on April 29, 2010 at 4:52 pm

* sambungan dari post sebelum ni * (LINK)

Kejadian remaja berusia 15 tahun, allahyarham Aminulrasyid Amzah yang maut kerana ditembak polis beberapa hari lepas benar2 menimbulkan kegemparan pada negara. Aku buka dan kemudian baca beberapa blog berkaitan arwah dan juga pendapat2 orang ramai berkenaan kes ni di laman web Facebook iaitu di group ‘ Kami menentang kekejaman Polis Malaysia ‘.

Kebanyakan mereka yang meninggalkan komen di situ lebih kepada memaki hamun dan carut2 kan polis ke tahap maksima. Kemarahan mereka kelihatan seperti sudah ke tahap dewa rentetan daripada kes tembak remaja 15 tahun ni. Belum pernah aku rasa dalam sejarah negara 2-3 tahun kebelakangan ini pihak polis dicerca setiap 5 saat..! Kalau tak percaya boleh lihat group tersebut. Malahan dari mana datang keberanian mereka yang carutkan polis ni..? Kalau bukan kerana kes ni aku tak rasa orang ramai iaitu masyarakat Malaysia berani mengutuk polis secara terbuka dalam laman sosial tersebut.

Sebenarnya apa yang aku rasakan lah kan, kemarahan mereka bukan sahaja kerana kes arwah Aminulrasyid ni tapi juga kerana kes2 lain yang pernah menjadi isu seperti Polis makan pau, polis bedal orang, kurang ajar, biadap dan sebagainya. Dan disebabkan isu ni dan kewujudan ruang untuk mereka meluahkan perasaan, maka seluruh organisasi polis dikutuk, dihina, dicaci, dikeji dan sebagainya walaupun polis yang melakukan kesalahan tersebut mungkin hanya 1-2 orang. Apa yang aku lihat kemarahan mereka bukan lagi hanya kerana kes ini tapi kerana kes2 lain.

Sepatutnya kita kena bagi kritikan dan pandangan secara berhemah dan sebagai rakyat Malaysia, tidak perlu kita bagaikan orang yang hilang kewarasan sehingga hilang budi bahasa kita dalam membei pandangan. Namun kemarahan rakyat sudah tidak boleh dibendung maka ini lah jadinya.

Iktibarnya polis kena ambil iktibar dan pandangan dari apa yang berlaku bukan hanya timbul sesuatu kes yang menjadi pehatian rakyat Malaysia baru nak beri kenyataan. Kami berterima kasih kepada polis yang siang – malam menjaga keamanan awam tanpa mengira waktu ataupun penat lelah. Tapi kami juga rasa jelek bila mengalami sendiri atau mendengar isu rakyat dipukul polis tanpa mengira kesalahan kecil atau besar, kena makan pau, diherdik macam anjing oleh polis dan sebagainya.

Sepatutnya hanya penjenayah yang takutkan polis bukan rakyat biasa yang tidak bersalah..! Rakyat perlukan polis untuk melindungi mereka dari si pesalah undang2 bukan lari tidak tentu pasal bila nampakkan polis sedangkan tidak melakukan kesalahan. Tidak sepatutnya rakyat biasa berasa trauma atau fobia bila ternampak polis sebab polis bukannya samseng jalanan untuk ditakuti.. Namun akhir2 ini sebaliknya yang berlaku. Macam mana rakyat dan polis mahu bekerjasama bila di salah satu pihak telah hilang kepercayaan antara satu sama lain..?

Ini tugas berat KPN untuk memantau tindakan setiap anggotanya agar tidak menjadi raja di kalangan masyarakat. Hatta isu2 kecil pun perlu diberi perhatian sebelum ia membesar jadi barah yang kemudiannya sukar diubati. Tidak adil mahu menuduh seluruh organisasi PDRM kejam dan zalim hanya kerana individu yang melakukan kesalahan tersebut. Tapi individu juga boleh menjadi bayangan dan mewakili imej seluruh organisasi. Kes enjin jet TUDM hilang dulu, berapa kerat sahaja yang mencerca individu terbabit..? Yang disalahkan adalah Panglima Tentera Udara dan Kementerian Pertahanan. Hanya kerana sikap segelintir boleh menjejaskan seluruh imej pasukan.

Kepada warga PDRM dekatilah masyarakat, dan berhemahlah dalam menjalankan tugas. Bukan senang menjalankan tugas sebagai anggota polis, semua rakyat tahu tu. Tapi ia tak boleh dijadikan alasan untuk kalian melepaskan tekanan pada masyarakat awam dengan mengherdik, biadap dan bertindak sesuka hati kalian. Allah maha melihat dan Maha mengetahui, jadi amanahlah pada tugas kalian. Sepatutnya masyarakat hormatkan polis, bukan takut dan fobiakan pasukan polis yang sesetengahnya dilihat tak ubah seperti samseng.

Tangani isu2 kecil yang menimbulkan perasaan meluat masyarakat seperti polis tak mahu ambil report, sambil lewa lepas dapat report, suspek kena bedal dalam tahanan sedangkan hukuman belum dijatuhkan dan sebagainya.

Kepada pasukan PDRM lagi semoga institusi kepolisan di negara ini terus kukuh dan mantap untuk melindungi negara dari musuh2 yang sentiasa mahu memporak porandakan negara. Rakyat bukan sahaja marahkan polis kerana isu ini tapi rakyat juga marahkan rakyat seperti mat rempit yang tak sudah2 menyusahkan warga Malaysia.

Komen Tan Sri Musa Hassan :

“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya,” katanya dalam laporan The Star Online.

Hehe bunyi macam merajuk jer Tan Sri KPN kita ni..? Orang tua memang cukup sensitif.. tambahan pula dengan umur dia tu masih dibebani tugas berat yang memeningkan kepala otak.

Bahtera Nabi Nuh

In Islam, Sejarah on April 29, 2010 at 2:28 pm

Semalam dalam kosmo ada siarkan pasal sekumpulan penjelajah Cina berjaya menemui serpihan kapal yang dikatakan sisa tinggalan bahtera Nabi Nuh di sebuah lereng curam setinggi 4000 meter di Gunung Ararat, Turki. Hasil ujian penentuan karbon ke atas spesimen kayu tersebut menunjukkan ia berusia 4800 tahun iaitu sama usia dengan kejadian banjir besar yang melanda dunia pada zaman nabi Nuh AS.

Sebelum ni pun pada tahun 1959 berdekatan bandar Dogubayazit, 24 kilometer dari gunung Ararat ada dakwaan mengatakan bahtera Nabi Nuh telah ditemui berdasarkan struktur permukaan tanah yang terdapat disitu yang seakan2 sebuah kapal. (gambar)

Namun akhirnya setelah penemuan sisa tinggalan bahtera Nabi Nuh di gunung Ararat ternyata struktur tanah di atas bukanlah bahtera Nabi nuh yang dikatakan. Kalau korang nak tahu pada tahun 1971 Maharaja Russia iaitu Tsar Nicholas telah menghantar sejumlah 150 org pakar pelbagai bidang yang terdiri daripada jurutera/saintis/tentera dalam mencari dan menyelidik tentang bahtera Nabi Nuh itu. Pasukan ekspedisi itu mengambil masa selama satu bulan utk sampai ke puncak Ararat itu. Segala penat lelah mereka berhasil kerana akhirnya berjaya menemui ‘Noah Ark’ itu.

Hasil dari siasatan itu telah dihantar pulang kepada Tsar, malangnya belum pun sempat laporan siasatan itu sampai ke tangan baginda, perang Bolshevik Komunist – 1917 meletus. Laporan itu akhirnya jatuh ke tangan General Leon Trotsky. Sehingga sekarang masih lagi belum diketahui samada segala ‘laporan siasatan’ itu masih disimpan atau dimusnahkan.

Sebenarnya ini bukan kli pertama pendakian untuk menjejak bahtera Nabi Nuh itu dilakukan, tapi sudah beratus kali namun akhirnya pendakian itu menemui kegagalan kerana selain kematian misteri yang menimpa para pengkaji, bukti2 yang ada selalunya hilang dari simpanan. Namun 26 April 2010 pengkaji dari China akhirnya berjaya membawa keluar beberapa serpihan dari puncak Gunung Ararat itu.

Gunung Ararat

Mengikut sejarah, Nabi Nuh adalah nabi ketiga yang wajib diketahui selepas Nabi Adam dan Nabi Idris. Nabi Nuh adalah anak kepada Lamikh bin Matulsakh bin Idris AS bin Yarid bin Mahlail bin Qinan Bin Anwas Bin Shaith Bin Adam AS. Apabila diberi tugas kerasulan, Nabi Nuh menyampaikan dakwah pada kaumnya sebagaimana diamanahkan. Namun dakwah baginda diabaikan dan ditolak oleh kaumnya.

Justeru Allah memerintahkan baginda membina sebuah bahtera untuk membawa pengikutnya yang setia dan binatang ternakan apabila Allah menurunkan banjir pada kaumnya kelak. Namun dimana bahtera baginda terdampar menjadi misteri sehinggalah penemuannya di Gunung Ararat ratusan tahun yang lalu.

Persoalannya ialah bagaimana zaman yang jauh 4800 tahun dari hari ini baginda boleh membina sebuah kapal yang besar dan canggih..? Tidak menjadi sesuatu yang menghairankan kerana Nabi Nuh diberi ilham oleh Allah SWT. Dari situ kita dapat bayangkan betapa dahsyatnya banjir yang melanda bumi ketika itu hinggakan bahtera Nabi Nuh boleh tersadai di sebuah gunung yang 4000 meter tingginya..! wallahualam.


Memori Di Bidor

In Memori, Peribadi on April 28, 2010 at 12:12 pm

Masa aku tulis artikel ni aku baru saja sampai KL selepas menempuh perjalanan pulang dari kampung aku di Bidor selama 2 jam setengah. Pagi tadi jam 8.30 am aku bertolak dari KL dengan keluarga aku ditemani 2 orang pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia ke kampung untuk urusan harta pusaka tinggalan arwah bapa aku yang meninggal Nov 2009 lepas. (LINK)

Dah lama aku tak pulang ke kampung sejak arwah ayah aku pergi mengadap ilahi. Sepanjang perjalanan aku ke kampung fikiran aku melayang teringatkan segala kisah aku yang tidak seberapa di kampung. Dulu semasa arwah bapa aku hidup, aku cukup liat untuk pulang ke kampung setiap kali diajak pulang. Biasalah anak muda yang membesar di kota sejak kecil, jadi suasana kampung aku yang terletak agak jauh di pendalaman kurang menyelesakan. Itulah hakikatnya kesilapan lampau yang pernah aku lakukan dulu.

Pulang ke kampung, puas arwah bapa aku cuba dari aku kecil sehingga ke besar untuk menyesuaikan aku dengan suasana kampung halamannya. Dibawa aku dan adik beradik semua pergi ke semua tempatnya bermain semasa kecil, menjala di sungai Perak dan sebagainya namun hasilnya kami tetap tidak beberapa menerima suasana tu.

Rumah kampung tempat opah (nenek) aku tinggal cumalah sebuah rumah kayu 2 tingkat yang buruk. Cuma ada 2 buah bilik dan kalau tandas pun, cuma menggunakan tandas cangkung yang beratapkan zink. Jadi keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan pada aku yang konnonnya sudah biasa dengan kemudahan canggih di kota. Puas sudah arwah bapa aku dan adik beradiknya yang lain memujuk nenek aku supaya mengubahsuai rumah tersebut supaya, setiap kali anak cucu pulang ke kampung mereka akan lebih selesa.

Tapi setiap kali jawapan yang diberikan opah aku adalah sama, iaitu dia pasti akan menolak. Katanya dia mahu rumah tersebut terbiar buruk seperti mana asalnya supaya arwah bapa aku dan adik beradiknya yang lain akan ingat asal usul mereka yang pernah hidup susah. Jadi mereka tidak akan memandang rendah pada orang2 miskin dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Datuk..? aku tak pernah jumpa datuk aku sebelah bapa sebab dia meninggal dunia semasa arwah bapa aku berumur 13 tahun lagi. Lepas tu opah aku lah yang mendidik semua adik beradik bapa aku sehingga kesemuanya melanjutkan pelajaran ke luar negara meskipun dia sendiri tak tahu membaca rumi sehingga ke hari ini..!

Dulu masa kecil arwah bapa aku pernah marah sebab aku asyik mengadu tak selesa di kampung. Katanya yang masih aku ingat sampai hari ni ialah ‘ rumah buruk ni lah tempat ayah belajar tinggi2. Bila malam tak ada lampu pakai lilin tidur pun atas batang buluh. Cuba selami sikit perasaan orang2 susah macam aku ni ‘ . Kadang2 bila teringatkan perkara tu, akan timbul rasa sesal dalam diri aku hari ini.

Pada pukul 12 pm kami sampai di kampung arwah bapa. Semasa pegawai dari TUDM menerangkan tentang bahagian harta pusaka yang arwah bapa aku tinggalkan, kelihatan air mata bergenang di mata tua opah aku tu. Aku faham perasaannya yang rindukan arwah anak lelakinya yang juga bapa aku. Semasa hidup hanya arwah bapa aku yang menjaga opah aku tu dari makan, minum dan pakainya. 2 minggu sekali arwah bapa akan balik ke kampung tidak kira sesibuk mana pun dia. Adik beradik arwah yang lain..? Rasanya tak perlu aku dedahkan aib keluarga aku dengan lebih lanjut.

Selepas selesasi urusan tukar dokumen, kami berangkat pulang semula menuju ke KL. Melihat kepada kebun yang berada di belakang rumah, mengingatkan aku pada arwah yang setiap kali masuk musim durin, akan setia menunggu di bawah. Durian bukan dimakannya, tapi dibuat tempoyak..! hehe.. :)

P/s : entah bila lagi aku dapat pulang ke kampung halaman arwah bapa aku. Selepas ni aku akan terbang pulang ke bumi kenyalang.. meneruskan kehidupan disana.

Misteri Ustaz Tajuddin

In Uncategorized on April 27, 2010 at 4:49 pm

Pernah tak korang semua dengar tentang bekas Paderi Besar Sabah, iaitu Reverend Thomas Laiden atau namanya selepas memeluk Islam iaitu Tajuddin Othman Abdullah. Dulu aku pernah dengar juga kisah dia ni, kononnya dia adalah Paderi Besar Sabah yang mana dia punya kuasa untuk mengampunkan dosa orang2 Kristian sehingga ke peringkat antarabangsa.

Malah dia dikatakan menyimpan naskhah asal kitab Injil yang diambilnya secara rahsia dari simpanan Vatican City. Dikatakan bahawa dalam Injil asal tersebut ada disebutkan tentang kebenaran agama Islam asal yang dibawa Nabi Isa AS dan mentauhidkan Allah SWT.  Kononnya dalam kitab itu bercanggah dengan ajaran Kristian yang mengamalkan konsep triniti iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul Khudus.

Kisah Ustaz Tajuddin Othman Abdullah memeluk Islam dan menyimpan naskhah asal Injil hebat diperkatakan suatu ketika dahulu dan kali pertama disiarkan oleh Majalah Muslimah terbitan Februari 1999 bertajuk ‘ Iktibar Buat Mereka Yang Murtad ‘. Melalui khabar yang disiarkan, kali terakhir berita tentang Ustaz Tajuddin adalah dia menyandang jawatan dengan Majlis Agama Islam Melaka. Malah setiap kali ada kes murtad membabitkan bangsa Melayu, kisah Utas Tajuddin yang pernah menjadi Paderi Besar Kristian di Sabah seringkali disiarkan, mungkin untuk menjadi iktibar. (LINK)

Namun kisah pengislaman Ustaz Tajuddin ini dinafikan oleh Keuskupan Keningau Sabah, Fr Dr Charles Chiew dalam akhbar online Herald yang mengatakan bahawa nama Thomas Laiden ini tidak pernah wujud dalam senarai mahupun perhidmatan dalam mana-mana Gereja Katolik di Sabah. (LINK)

Jadi jika Ustaz Tajuddin ini tidak wujud ataupun menipu seperti mana dakwaan pihak gereja Sabah, apakah tujuan majalah Muslimah menyiarkan temubual dengan Ustaz Tajuddin ini. Kalau majalah Muslimah mahu menimbulkan kesedaran tentang akibat murtad, apakah perlu menyiarkan wawancara palsu..? Puas aku cari maklumat dan gambar tentang Ustaz Tajuddin ni di internet namun tiada maklumat mahupun gambar terkini tentang beliau seolah2 tiada langsung maklumat tentangnya seperti sudah dipadamkan oleh pihak2 tertentu.

Dan jika wawancara itu tipu sebagaimana dakwaan pihak Gereja Sabah maka ini adalah satu aib yang besar buat umat Islam. Hidup dalam masyarakat berbilang kaum perlu tiada atau minimum prejudis antara agama dan kaum di Malaysia ni. Namun aku pun tidaklah menolak mentah2 kewujudan Ustaz Tajuddin ni jika dia benar2 wujud, mungkin ada konspirasi ker kita mana tahu kan..? Apa2 pun hormatilah hak2 bangsa dan agama lain di bumi Malaysia ni.

Melayu Bukan Bodoh Pt.1

In Sindiran on April 27, 2010 at 2:39 pm

Melayukah kita..?
Jika hanya pada wajah..
Jika hanya pada mata..
Jika hanya pada warna kulit.

Melayukah kita jika hanya melihat keris sebagai senjata..?
Jika hanya sekdar nama sehingga mereka tersenyum..
Bertanya, itukah Melayu yang berbudi bahasa.

Melayukah kita..?
Jika hanya pada kata2..?
Tetapi dalam dirinya penuh kepalsuan.

Masa berganjak sejarah bertukar..
Benarkah Melayu itu bangsa yang bijaksana..?

- Long Anaz Khalif Segitiga Emas Z Bersatu -

Aminulrasyid Amzah

In Isu Semasa on April 27, 2010 at 1:05 pm

Kecik ajer budaknya..

Aku membaca dan mengikuti dengan penuh minat mengenai seorang remaja yang mati kerana ditembak polis iaitu Allahyaraham Aminulrasyid Amzah kerana disyaki penyamun. Tak mahu komen atau mengupas lanjut isu ni sebab kita bukan tahu apa yang sebenarnya terjadi pada kejadian. Janganlah kita jadi manusia yang menjatuhkan hukum sebelum segala2nya telah jelas dalam pengetahuan kita.

Cuma aku kasihan pada arwah sebab umur baru 15 tahun tapi mati kerana ditembak polis. Apakah pistol merupakan senjata utama polis..? Bukankah mereka dibekalkan dengan ilmu beladiri seperti taekwando dan sebagainya..?

Mengikut apa yang aku baca dalam portal Malaysiakini saksi utama kes tersebut, iaitu rakan pada arwah selepas kejadian tembakan itu melarikan diri dan kemudian membuat laporan polis ditemani dengan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Kata saksi semasa kejadian mereka telah memotong kenderaan polis dengan laju.

Dakwanya, kereka mereka kemudiannya dikejar sebuah kenderaan MPV polis dan ditembak, mengakibatkan kereta mereka terbabas.Dalam aduannya itu, rakan remaja itu mendakwa keluar dari kereta untuk menyerah diri dan mendakwa salah seorang anggota polis menendangnya dari belakang.

Dalam aduan tersebut, dia juga mendakwa anggota polis yang lain turut memukul dan memijaknya beramai-ramai. Dia mendakwa meronta-ronta serta dapat melarikan diri daripada anggota polis tersebut, lalu balik ke rumah sebelum membuat laporan polis.

P/s : Budak umur 15 tahun badan kecik jer, kenapa perlu dipijak beramai2..? Kenapa tak bawa sahaja ke balai polis dan ambil tindakan susulan dengan buka kertas siasatan mengikut prosedur..? Kalau betul kata saksi utama tu, susah lah sebab polis pun dah perangai macam mat rempit. Apapun kita ikut jer kes ni, kerajaan kena pandang serius kes ni. Nyawa manusia bukan macam nyawa binatang yang boleh disembelih untuk buat makan.

Jangan buat tuduhan melulu kasihan pada keluarga arwah. Al-Fatihah.

Rahsia Kemerdekaan

In Sejarah on April 27, 2010 at 7:52 am

Tak tahu berapa ramai yang perasan tentang gambar di bawah ni semasa pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ni Tunku Abdul Rahman sebenarnya memakai tuksedo tetapi dengan kain samping dan bukannya berbaju Melayu..?!??!

Apakah ada maksud yang tersirat di sebalik tindakan Almarhum Tunku ini..?

PKR Kalah, Dap Menang

In Politik on April 27, 2010 at 7:23 am

Keputusan pilihanraya Hulu Selangor ahad lepas telah memberi kemenangan pada calon dari Barisan Nasional, P Kamalanathan sekaligus mengetepikan calon dari Pakatan Rakyat, Zaid Ibrahim. Tapi apa yang aku baca walaupun BN menang majoriti 1752 undi, tapi undi dari kaum Cina tetap merosot kerana 75 peratus memihak pada pakatan pembangkang.

Kesungguhan etnik Cina mencari dan menyuarakan pelbagai isu seolah-olah kerajaan BN tidak adil dan melakukan penindasan kepada mereka sudah memuncak. Mereka menolak secara total parti komponen MCA dan Gerakan dan kini berpaksi kukuh dengan parti DAP. Dengan kata lain undi kaum Cina secara total beralih kepada pembangkang dan menjadikan DAP sebagai parti utama masyarakat mereka.

Tetapi undi kaum Melayu dan India di Hulu Selangor berpecah dua walaupun majoriti cenderung pada kerajaan Barisan Nasional berbanding bangsa Cina yang bersatu dan sepakat memilih pembangkang. Apa yang dapat kita lihat pencapaian etnik Cina di Malaysia sudah sampai ke kemuncak iaitu selepas berjaya menguasai ekonomi, mereka kini hampir berjaya menguasai arena politik negara dengan bantuan Parti Keadilan dan Pak2 Lebai dari PAS.

Buktinya ialah kegigihan PAS dan PKR menyerang UMNO sudah sampai ke tahap merealisasikan cita-cita ini. Apabila PAS sendiri sudah mula menyerang Institusi Raja Melayu dan begitu liberal dalam persoalan agama Islam, orang-orang China sudah faham bahawa mala petaka sedang menghempap bangsa Melayu. Apabila PKR mengkucarkacirkan sistem kehakiman dan terus membantu melemahkan sistem politik berparlimen, orang-orang China sudah mendapat signal yang baik bahawa telah berlaku kemusnahan yang amat dahsyat kepada bangsa Melayu.

Dengan kata lain kesatuan bangsa Melayu sudah menghampiri kemusnahan. Kelemahan ini akan meruntuhkan kuasa politik bangsa Melayu. Tanpa kuasa politik perlembagaan negara dapat diubah mengikut tafsiran baru Pas, PKR dan DAP. Apapun tafsirannya orang-orang Cina tetap hampir berjaya menggenggam kuasa politik. (LINK)

P/s : Kalau nak memastikan bangsa Melayu terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional, Dato Seri Najib mesti melakukan perubahan besar seiring dengan kehendak rakyat. Dulu aku seorang yang berfahaman anarkis maknanya aku tak suka kerajaan. Antara yang menjadi isu ialah penindasan kerajaan pada golongan bawahan, anti kapitalis dan anti ‘ police brutality ‘.

Jadi kerajaan kena sentiasa mendekati rakyat, kena kurangkan imej elit supaya dekat dengan rakyat, supaya rakyat selesa. Kukuhkan dan lancarkan semula institusi perundangan di negara ni. Beberapa isu besar membabitkan nama baik Polis Diraja Malaysia pun kena diambil kira. Kena ambil pandangan anak muda sebab orang seperti kami ni yang akan menerajui negara nanti. Perkara2 yang menyakitkan hati seperti kes ragut dan buang bayi membabitkan orang Melayu kena diambil kira. Kalau kena pinda akta, lakukan demi kesejahteraan rakyat.

Punca rakyat menyokong pakatan pembangkang kerana mereka harapkan perubahan jadi kerajaan kenalah lakukan perubahan besar supaya rakyat selesa. Martabatkan agama Islam di negara ini dengan sebaiknya, bukan dengan sekadar membangunkan masjid yang bernilai jutaan ringgit. Orang UMNO jangan hipokrit dengan mengaku sebagai pejuang Melayu tapi diri sendiri tidak cukup keMelayuannya. Rakyat bukan bodoh sebab kami melihat mendengar dan berfikir. Sebab itu ramai yang tersepit dan akhirnya berdiri di atas pagar.

Pakatan Pembangkang pun bukan bagus sangat, Anwar ibrahim dok jaja cerita negara pada negara luar. Kata kerajaan sokong Yahudi pasal isu APCO tapi dia sendiri kawan dengan Yahudi. Yang tok2 Lebai PAS pulak nama saja ustaz, tapi aku baca blog hangpa semua dok sibuk maki hamun orang sana sini. Semua pandai cakap macam diri sendiri maksum.

Susah Tidur

In Peribadi on April 26, 2010 at 8:58 pm

Jam dah pukul 4.45 pagi masa aku tulis artikel ni tapi masih belum dapat melelapkan mata. Entah kenapa susah sangat aku nak tidur malam sekarang ni. Aku rasa jin yang penah menyampuk aku 3 tahun dulu dah datang menyampuk aku balik agaknya. Haha. Ohh aku tak pernah cerita pun pasal tu.. Nanti2 la..

Nasib baik dekat TV sekarang ada cerita faveret aku sejak berbelas tahun dahulu ditayangkan semula iaitu cerita ‘ cinta antara benua’ . Tahun 1996 dulu cerita ni aku baru darjah 3 tapi aku masih minat sampai sekarang. Tajuk jer cinta, tapi tak adalah kisah cinta jiwang karat. Cuma kisah pelajar2 Melayu Malaysia kat luar negara jer.

Lepas habis cerita ni aku cuba tidur, dan kalau aku tertidur mudah2 an aku boleh bangun sembahyang subuh. Tapi biasanya kalau aku tidur lewat memang tersadai la solat subuh aku. K chow..!

‘ Jange pegi abe din.Bawoklah we skali abe den..Abe tok sir tengok we nyesal mace abe din nanti’ .Haha dialog cerita tu skarang. Merapu sudah aku ni.

P/s : Ini adalah post terpendek pernah aku buat. Esok kena tido awal balik kampung tengok opah ku tercinta.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.